Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Permohonan bantuan subsidi haji daripada golongan B40 dan M40 semakin berkurangan kerana kesedaran terhadap kemampuan melakukan ibadah itu semakin meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata penolakan terhadap bantuan bayaran berkenaan sekaligus mendorong kepada peningkatan sebanyak 3.25 peratus dividen Lembaga Tabung Haji pada tahun lalu.

“Tabung Haji dalam usaha memberikan penjelasan kepada rakyat khususnya orang Islam berkenaan kaitan haji dengan kemampuan. Bermula 2022, memang subsidi yang diberikan Tabung Haji kepada jemaah haji khususnya dalam kalangan B40 dan M40 makin berkurangan, ini adalah asas untuk mendidik orang Islam tentang kewajipan haji tersebut.

“Jadi atas dasar tersebut, alhamdulillah jumlah jemaah haji yang layak menunaikan haji untuk dua tahun lepas, yang sukareka tolak bantuan adalah 263 (2024) dan 396 (2023), mereka yang tidak mahu menerima bantuan subsidi haji. Ini menunjukkan kefahaman masyarakat hasil penjelasan diberikan berkenaan kewajipan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari (Pengkalan Chepa) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Marzuk mempertikaikan pengolahan dividen kepada bantuan subsidi Jemaah haji yang memerlukan.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menjelaskan, tiada kuota tambahan kepada mana-mana negara daripada kerajaan Arab bagi tahun ini atau 1446 Hijrah.

Sebagai rekod, Tabung Haji sebelum ini  mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat lebih tinggi sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 berbanding 3.1 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2. 92 bilion berbanding RM2. 72 bilion pada 2023.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast