KUALA LUMPUR – Kelab Borneo tanah air, Kuching City mengumumkan kehadiran penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja dalam memperkasakan barisan hadapan skuad The Cats dalam saingan Liga Super 2025/26 bermula bulan depan.
Nama pemain itu tidak asing lagi kerana berpengalaman dalam Liga Super selepas pernah beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022 yang ketika itu turut bersaing dalam Piala AFC.
Biarpun mencatatkan musim cukup baik di Utara tanah air dengan 15 gol dijaringkan, Ronald Ngah yang turut dikenali sebagai Pak Ngah memilih untuk meninggalkan kelab tersebut pada penghujung saingan.
Penyerang berusia 33 tahun itu kemudian berkelana ke beberapa negara sekitar Timur Tengah sebelum kembali ke arena bola sepak tanah air dengan Kuching City FC menjadi destinasi pilihannya.
Selain memperkuatkan barisan hadapan, Kuching City FC turut memperkenalkan pemain baharu di posisi pertahanan dengan Scott Woods dan Arif Fadzilah ditandatangani.
Kehadiran semua rekrut itu menyaksikan pasukan bekrenaan semakin bersedia untuk bersaing dengan Selangor FC serta seteru Borneo, Sabah FC untuk tiket ke pentas Asia.
Sebelum ini, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak mengumumkan kehadiran Danial Asri dari Selangor FC selain kejayaan mendapatkan penyerang muda berbakat Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Nistelrooy secara pinjaman.
Tidak cukup dengan itu, barisan hadapan skuad The Cats turut diperkukuhkan selepas Ramadhan Saifullah yang hadir secara pinjaman musim lalu dikekalkan. – MalaysiaGazette
















