DHAKA, Bangladesh – Sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya pelajar, terbunuh apabila sebuah pesawat latihan Tentera Udara Bangladesh terhempas di sebuah sekolah di ibu negara Dhaka, kemalangan udara paling buruk sejak berdekad-dekad.
Jurugambar AFP yang berada di lokasi kejadian melihat kebakaran dan anggota penyelamat membawa keluar para pelajar dengan menggunakan pengusung.
Lebih 100 orang cedera dalam insiden tersebut, dengan sekurang-kurangnya 83 orang menerima rawatan di beberapa buah hospital, kata pejabat pemimpin sementara, Muhammad Yunus.
Pesawat F-7 BJI buatan China berlepas pada jam 1.06 tengah hari waktu tempatan dan terhempas selepas itu di kampus Milestone School and College.
Seorang saksi berkata, beliau terdengar dentuman dan berasa seperti gampa bumi sedang berlaku.
“Kami mempunyai dua taman mainan, satu untuk pelajar senior dan satu lagi untuk pelajar junior,” kata pelajar, Shafiur Rahman Shaf yang berusia 18 tahun.
“Kami berada di taman mainan untuk senior, TIba-tiba salah sebuah daripada dua jet pejuang terhempas di sini (taman mainan untuk junior).
“Ia mencetuskan dentuman dan berasa seperti gempa bumi. Selepas itu ia terbakar dan tentera sampai di sini kemudian,” katanya kepada AFP.
Kerajaan sementara mengumumkan berkabung esok selama sehari.
Ramai ibu bapa dan sanak saudara mangsa berada di National Burn and Plastic Surgery Institute di ibu negara, lapor media tempatan.
Ramai yang cuba mengenal pasti anak mereka berdasarkan kepada pakaian seragam dan barangan milik masing-masing.
Pada 1884, sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Chattogram ke Dhaka terhempas menyebabkan kesemua 49 orang penumpang maut. – AFP
















