Tertuduh, Lee Kau Lik, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500, dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Lee Kau Lik, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah urusan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik telah secara rasuah memberikan satu suapan wang tunai berjumlah RM2,000 secara pindahan dalam talian kepada seorang lelaki.

Tindakan itu adalah sebagai upah membantu syarikat tertuduh mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500.

Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Tengkera (Jalan Ong Kim Wee) dalam daerah Melaka Tengah pada 5 November 2023.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu jumlah jaminan rendah kerana hanya dia seorang bekerja untuk menyara isteri serta anak selain perlu menjalani pemeriksaan penyakitnya di hospital setiap bulan.

Selepas mendengar hujanan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Elesabet turut mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast