KUANTAN – Seorang pengurus sebuah syarikat keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan pembekalan barangan kebersihan berjumlah RM29,000.
Tertuduh, Nur Mohamad Fariz Abu Bakar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Nur Mohamad Fariz di dakwa secara tidak jujur telah menggunakan dokumen yang diketahui palsu sebagai tulen iaitu sebut harga dari sebuah syarikat pembekal dengan jumlah berkenaan.
Sebut harga tersebut adalah berkaitan Permohonan Nombor Perolehan Untuk Membekal Barangan Kebersihan untuk Seluruh Risda Pahang, Risda Terengganu dan Risda Kelantan Tempoh Satu Tahun (01.09.2022-31.08.2023).
Kesalahan di bawah Seksyen 471 kanun Keseksaan itu dilakukan tertuduh pada 30 Ogos 2022 di Risda Security dan Services Sdn Bhd di sini.
Jika sabit kesalahan, bapa kepada tiga orang anak itu boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Suriawani Abdul Rahim memohon Hakim mengenakan wang jaminan sejumlah RM12,000 dikenakan dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu pengurangan wang jaminan terhadapnya.
Justeru, Sazlina menetapkan jumlah wang jaminan sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin bercagar serta tarikh 25 Ogos sebagai sebutan semula dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette
















