MELAKA – Selepas lebih 48 jam bertarung nyawa, kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang lemas di kolam renang rumah inap sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana di sini pada Ahad lalu meninggal dunia hari ini.
Berita sedih itu dimaklumkan bapanya, Ahmad Ridzuan Supian, 36, yang mengesahkan tular poster daripada pihak sekolah mengenai pemergian anaknya itu, Ahmad Firdaus Iqbal yang berusia tujuh tahun.
“Ya, (berita kematian anak),” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini bagi mengesahkan poster berkenaan selain status dimuat naik waris terdekat mengenai kematian Iqbal.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jenazah telah diserahkan pada waris pada pukul 12.05 tengah hari tadi.
“Waris sudah membawa pulang jenazah ke rumahnya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor bagi urusan pengebumian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.45 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian didapati seorang kanak-kanak lelaki Melayu berumur tujuh tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.
“Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan CPR kepada mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum mangsa di bawa ke Hospital Melaka oleh ambulans,” katanya.
Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Melaka kerana mengalami kegagalan fungsi otak dan bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette
















