Kebakaran hutan di Sumatera Barat. Gambar tular

JAKARTA – Daerah Solok dan Limapuluh Kota di wilayah Sumatera Barat, Indonesia telah mengisytiharkan status darurat kebakaran hutan dan tanah susulan peningkatan bilangan titik panas semasa musim kemarau ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Sumatera Barat, Ilham Wahab seperti yang dilaporkan agensi berita Xinhua.

“Di daerah Solok sahaja, kebakaran hutan dan tanah telah berlaku di kesemua 14 kecamatan,” katanya.

Jelasnya, operasi pengeboman air menggunakan helikopter masih belum dijalankan kerana Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan ketika ini memfokuskan usaha pemadaman api di wilayah Riau dan Sumatera Selatan, yang dianggap lebih kritikal.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah Limapuluh Kota, Rahmadinol, pula memaklumkan bahawa keadaan muka bumi yang mencabar dan peralatan yang terhad menyukarkan usaha pemadaman.

“Kebanyakan lokasi kebakaran di Limapuluh Kota mempunyai cerun antara 70 hingga 90 darjah, menjadikan usaha memadam api sangat mencabar,” kata Rahmadinol.

Menurut Jabatan Perhutanan Sumatera Barat, sekurang-kurangnya 64 kejadian kebakaran hutan dan tanah telah direkodkan di sembilan daerah dan bandar dari awal tahun 2025 hingga 19 Julai, melibatkan keluasan keseluruhan 140.87 hektar. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast