KUALA LUMPUR – Sistem permohonan tunggal kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak lagi memerlukan calon mengambil dua ujian penilaian berbeza.
Ini bermakna, mulai tahun ini hanya satu tempat yang ditawarkan berbanding amalan terdahulu yang memungkinkan seorang pelajar menerima dua tawaran berlainan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan akan diberi berasaskan pilihan utama yang dipilih pelajar.
“Contohnya, jika pilihan utama ialah MRSM, maka pelajar yang layak akan ditawarkan tempat di MRSM.
“Satu sahaja sistem penilaian atau Ujian Kemasukan iaitu PKSK (Penaksiran Kemasukan Sekolah Khusus) untuk diguna pakai bagi permohonan ke SBP dan MRSM,” ujar beliau dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Asyraf Wajdi mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara KPM dan Mara hari ini.
Asyraf Wajdi turut menjelaskan, sistem baharu yang bakal dilaksanakan itu memudahkan pelajar kerana lebih banyak lokasi ujian disediakan.
“Lokasi ujian juga akan dikongsikan bersama dan ini dapat menyelesaikan masalah yang selalu dialami oleh pemohon-pemohon ke MRSM kerana tempat ujian di 57 lokasi amat terhad.
Ujarnya, melalui kerjasama itu, sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara boleh dimanfaatkan dan ibubapa tidak perlu lagi bermusafir jauh untuk membawa anak mereka ke pusat-pusat penilaian.
“Rayuan kemasukan ke MRSM mahupun SBP akan tetap dibuka sehingga semua tempat terisi,” ujar beliau.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri berkata, antara 10 hingga 15 peratus tempat di SBP dan MRSM tidak diisi akibat pertindihan tawaran kepada pelajar.
Menurut Ahmad Zahid, akibatnya, tempat yang ditolak tidak sempat diisi semula, sekali gus menafikan peluang kepada pelajar lain yang juga layak. – MalaysiaGazette
















