Jambatan Desa Pandan ini akan ditutup untuk kenderaan berat demi keselamatan pengguna lain. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Jambatan di Desa Pandan yang sering menjadi laluan utama penduduk terutama pada waktu puncak bakal ditutup dalam masa terdekat berikutan isu keselamatan yang kian membimbangkan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jambatan kecil yang menghubungkan Kampung Pandan Dalam (Selangor) ke Desa Pandan (Wilayah Persekutuan) itu asalnya dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor  khusus untuk kegunaan motosikal sahaja.

Namun, kemudahan itu telah disalahgunakan apabila ia digunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta dan lori.

“Keselamatan orang awam sangat kritikal. Kita telah dimaklumkan mengenai kejadian pelanggaran yang meragut nyawa.

“Sudah beberapa kali berlaku pergaduhan antara pengguna jalan raya yang berebut laluan, termasuk yang mahu naik dan turun jambatan serentak.

“Malah, ada situasi di mana pemandu terpaksa menunggu lama kerana berlaku kesesakan dan pertelingkahan. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,”katanya dalam sidang media selepas tinjauan ke lokasi berkenaan hari ini.

Johari Abdul Ghani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah melakukan tinjauan di jambatan dekat Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

Beliau memberitahu sebagai langkah jangka pendek, pihak berkuasa akan memasang besi penghadang bagi menghalang kemasukan kenderaan berat.

“Buat masa ini, hanya motosikal dibenarkan melaluinya. 

“Namun, sekiranya keadaan masih tidak terkawal dan kekalutan terus berlaku, jambatan berkenaan akan ditutup sepenuhnya demi menjaga keselamatan pengguna,” tegas beliau.

Johari turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif untuk melebarkan jalan di kawasan tersebut bagi kemudahan penduduk setempat, terutamanya murid-murid sekolah.

“Saya sokong sebab senang budak-budak nak pergi sekolah, jalan dah besar. Bila jalan besar, bukan saja kereta boleh lalu, malah keadaan jadi lebih selamat.

“Mereka (pihak berkuasa tempatan) kena setuju. Tak boleh selama-lamanya kita tengok keadaan yang tak elok dan terus biarkan,” katanya.

Perbincangan lanjut berhubung skop dan kos pelebaran jalan sedang dilakukan semula kerana perancangan asal telah bermula sejak tahun 2017.

“Saya tak ada angka kos sekarang sebab skop projek dah berubah. Konsultan telah dilantik, kerja dah mula sejak 2017, 2018.

“Kontraktor pun dah dilantik tapi saya pun tak pasti sejauh mana kemajuan sebab design dibuat oleh konsultan. Jadi kita perlu semak balik,” jelasnya.

Difahamkan, jalan alternatif yang dibuka sebelum ini bertujuan memudahkan penduduk ke masjid tanpa perlu membuat pusingan jauh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast