SEOUL – Pendakwa raya di Korea Selatan meminta maaf kepada seorang wanita yang disabitkan bersalah kerana membela diri semasa serangan keganasan seksual yang berlaku lebih 60 tahun lalu.
Choi Mal-ja dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana menggigit sebahagian daripada lidah penyerangnya ketika cuba merogolnya pada 1964, ketika wanita ini berusia 18 tahun.
Menerusi Gerakan #MeToo, Choi yang kini berumur 78, telah berkempen selama bertahun-tahun menuntut sabitannya dibatalkan.
Perbicaraan semula bermula di Busan pada hari Rabu, apabila pendakwa raya membuat permohonan maaf dan meminta mahkamah membatalkan keputusan bersalah yang disabitkan ke atas wanita itu.
“Selama 61 tahun, negeri ini menjadikan saya hidup sebagai penjenayah,” kata Choi kepada pemberita di luar mahkamah menjelang perbicaraan.
Dia berharap, generasi akan datang dapat menjalani kehidupan yang bahagia, bebas daripada keganasan seksual.
Pada permulaan perbicaraan, Ketua Pendakwa Busan Jeong Myeong-won berkata: “Kami memohon maaf dengan ikhlas”.
“Kami telah menyebabkan Choi Mal-ja, mangsa jenayah seks yang sepatutnya dilindungi sebagai satu kesakitan dan keperitan yang tidak dapat digambarkan”.
Keputusan muktamad dijadualkan pada 10 September, dengan pemerhati undang-undang menjangkakan mahkamah akan membatalkan sabitan Choi.
Di luar bilik mahkamah selepas perbicaraan, Choi mengangkat tangannya dan berkata: “Kami menang!”
Pada 1964, Choi Mal-ja yang berusia 18 tahun diserang oleh seorang lelaki berusia 21 tahun, yang memasukkan lidahnya ke dalam mulut mangsa dan menjatuhkan mangsa ke tanah di di bandar selatan Gimhae, menurut rekod mahkamah.
Choi berjaya melepaskan diri daripada serangan dengan menggigit 1.5 sentimeter lidah lelaki berkenaan.
Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana menceroboh dan mengugut.
Namun, lelaki berkenaan tidak pernah disabitkan dengan cubaan merogol.
Sebaliknya, wanita ini telah dijatuhkan hukuman yang lebih keras daripada penyerangnya kerana menyebabkan dia cedera parah.
Mahkamah pada masa itu berkata tindakannya telah melebihi “batas munasabah” untuk mempertahankan diri.
Kes Choi sejak itu telah disebut dalam buku teks undang-undang di Korea Selatan sebagai contoh klasik mahkamah yang gagal mengiktiraf pembelaan diri semasa keganasan seksual.
Choi memfailkan petisyen pada 2020, 56 tahun selepas serangan itu, tetapi pada mulanya ditolak oleh mahkamah rendah.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Agung memutuskan perbicaraan semula Choi boleh diteruskan.
Perjuangannya untuk keadilan menjadi terkenal di Korea Selatan, apabila Choi dan rakan-rakan aktivis mengadakan protes di luar bangunan Mahkamah Agung di Seoul.
“Saya masih tidak percaya,” kata Choi selepas perbicaraan Rabu,
“Tetapi jika pihak pendakwaan mengakui kesilapannya walaupun sekarang, maka saya percaya keadilan masih hidup di negara ini,” kata Choilapor akhbar Korea JoongAng Daily. – Agensi
















