Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Kehadiran ejen perisikan asing khususnya Mossad dari Israel ke Malaysia disifatkan sebagai satu ancaman keselamatan yang sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, pendedahan oleh  kerajaan mengenai operasi sulit Mossad termasuk penglibatan rakyat tempatan sebagai perantara amat membimbangkan dan menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara.

“MAPIM memandang berat isu ini dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan untuk memperketat kawalan keselamatan serta memperhebat operasi risikan terhadap sebarang elemen asing yang mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi yang juga Setiausaha Agung Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan Al-Aqsa berkata, sebarang bentuk kerjasama antara rakyat Malaysia dengan ejen asing, lebih-lebih lagi agensi zionis seperti Mossad merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan umat Islam sejagat.

“Mossad bukan sekadar badan risikan. Ia juga terlibat dalam aktiviti sabotaj, pembunuhan terancang dan penyusupan ideologi yang boleh menggugat kestabilan dalam negara,” ujarnya.

Justeru MAPIM menggesa beberapa langkah segera dilaksanakan termasuk bertindak menahan serta-merta individu yang menjadi tali barut kepada ejen asing.

Turut perlu dilakukan pelaksanaan undang-undang keselamatan negara secara tegas tanpa kompromi serta pengawasan semua saluran komunikasi dan rangkaian sosial yang terdedah kepada pengaruh Mossad.

Kerajaan juga, katanya, perlu melakukan kerjasama erat dengan negara-negara Islam bagi memantau pergerakan risikan zionis di rantau Asia Tenggara dan melaksankan pendidikan awam serta kempen kesedaran untuk membentengi rakyat daripada terpedaya dengan dakyah Israel atau proksi-proksinya.

Mohd Azmi turut menyeru semua masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, pertubuhan belia dan mahasiswa agar cakna dan peka terhadap isu tersebut yang bukan sahaja melibatkan keselamatan negara tetapi juga agenda zionis terhadap Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

“Kehadiran ejen Mossad di Malaysia adalah satu amaran besar buat kita semua. Negara perlu bertegas. Rakyat perlu berwaspada. Jangan biarkan tanah air menjadi tapak operasi musuh Islam,” tegasnya.

“Keselamatan negara adalah amanah bersama yang wajib dipertahankan.” – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendirian Malaysia mungkin punca kehadiran ejen Mossad – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast