KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menjelaskan berkenaan status dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) khusus kepada masyarakat India yang kini didakwa masih belum disalurkan.
Pengerusi Biro Perpaduan PN, Dr Halimah Ali berkata, kerajaan setiap tahun memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi aktiviti pembangunan sosial dan ekonomi dengan tujuan memperkasakan masyarakat India menerusi dana MITRA berkenaan.
Namun, ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kapar, dalam pertemuan bersama kira-kira 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat India semalam mereka mendakwa langsung tidak menerima sebarang peruntukan daripada MITRA sepanjang tahun ini.

Sedangkan, tambah beliau, kesemua NGO dan aktivis masyarakat India itu sudah pun menandatangani surat tuju terima (SST) dana itu pada April lalu dan dimaklumkan oleh MITRA yang mana permohonan mereka sudah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan kelulusan.
“Namun sehingga kini, NGO dan aktivis masyarakat India masih tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan dan meluahkan rasa kecewa kerana bantuan itu sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk disalurkan memandangkan sudah diluluskan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Halimah, kelewatan dana MITRA kepada NGO dan aktivis masyarakat India itu tidak boleh diterima apatah lagi apabila ia turut melibatkan golongan penduduk yang benar-benar memerlukan.
Antaranya, kata beliau, melibatkan pemberian subsidi kepada pelajar universiti; para pesakit dialisis yang perlu mendapatkan rawatan beberapa kali seminggu serta bagi pengoperasian pusat asuhan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi MITRA yang juga Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran tampil menjelaskan punca sebenar kelewatan penyaluran dana MITRA berkenaan serta memastikan dana tersebut sampai kepada kumpulan rentan masyarakat India dengan segera. – MalaysiaGazette
















