KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti untuk memperbaiki keadaan kewangan negara sejak hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri pada penghujung 2022 demi kesejahteraan rakyat.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah apabila memberitahu, keadaan kewangan negara beransur pulih dan baru sedikit demi sedikit bantuan kepada rakyat diberikan untuk meringankan sedikit beban dalam ketidaktentuan ekonomi global ini.
Malah, beliau menegaskan, pendedahan yang dibuat oleh Wartawan, Bradley Hope dan Tom Wright bahawa Malaysia sebenarnya kerugian AS$18 bilion akibat Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan gambaran “kerosakan” yang diwarisi Kerajaan Madani daripada pentadbiran terdahulu.
“YAB Perdana Menteri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat kerana memberikan sokongan dan dukungan serta tetap bersabar ketika usaha-usaha memperbaiki negara dijalankan.
“Walaupun segelintir pihak termasuk ketua pembangkang menghina, mencerca dan mengaibkan YAB Perdana Menteri hampir setiap hari menggunakan media sosial untuk memperlekehkan segala usaha Kerajaan Madani, sedikit pun beliau tidak berganjak dan berkecil hati,” katanya menerusi taklimat harian PMO di Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.
Anwar katanya, turut mengulangi permohonan maaf diatas kelewatan menunaikan sesetengah janjinya sebelum menjadi Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata, bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Kerajaan Madani meluncurkan gerakan “Bersama Malaysiaku”, sebuah wadah untuk menzahirkan kebersamaan dan menyemarakkan patriotism.
Jelasnya, sehingga 30 September ini, gerakan itu bakal menampilkan “Wajah Malaysia” melalui rangkaian foto rakyat daripada segenap latar sosioekonomi dan budaya.
Tambahnya, penyertaan telah dibuka kepada orang ramai dan mereka perlu merakam detik berkhidmat dan berkongsikan di laman web rasmi Bersama Malaysiaku, bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.my.
“InsyaAllah, foto-foto terpilih bakal menghiasi platform media sosial Perdana Menteri, agensi kerajaan, stesen televisyen serta paparan digital yang mengingatkan jutaan mata bahawa kemerdekaan bukan sekadar lembaran sejarah, tetapi perjalanan kolektif yang dipacu oleh setiap warga,” katanya. – MalaysiaGazette















