Ngwe Hee Sem

MELAKA – Hampir 63 peratus penduduk dewasa di Melaka gemuk, tergolong dalam kumpulan mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurutnya apa yang lebih membimbangkan, angka itu melebihi purata kebangsaan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan setiap lima tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Di Melaka, kajian mendapati 34.7 peratus penduduk dewasa mengalami masalah berlebihan berbanding purata kebangsaan adalah 30.4 peratus, menjadikan lebihan 4.3 peratus.

“Manakala bagi kategori obesiti, ia merekodkan 28.2 peratus sekali gus menyaksikan masalah obesiti di Melaka 8.5 peratus lebih tinggi berbanding peringkat nasional sebanyak 19.7 peratus,” katanya.

“Ini bermakna hampir 63 peratus penduduk dewasa di Melaka atau kira-kira 60 peratus berumur antara 30 hingga 49 tahun mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Program Walkabout Premis Bebas Asap Rokok di Banda Hilir, di sini lewat petang tadi.

Hee Sem (tengah) menyantuni peniaga pada Program Walkabout Premis Bebas Asap Rokok di Banda Hilir, Melaka lewat petang tadi.

 

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri Dr. Ruzita Mustaffa dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Dorothy Dayang Henry Sum.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, peningkatan kadar itu mungkin berkait rapat dengan gaya hidup seharian dan faktor amalan makanan tidak sihat.

“Sebab itu kita turut mengadakan kempen kurangkan gula dalam makanan atau lebih baik langsung tidak mengambil gula putih dalam minuman seharian.

“Kita bimbang, masalah berat badan berlebihan jika tidak dikawal boleh menjadi obesiti sehingga menyebabkan pelbagai penyakit seperti jantung, strok, tekanan darah tinggi, dan kencing manis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast