Liew Chin Tong.-foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) disifatkan gagal menjadi pembangkang yang berkesan apabila terus dibelenggu krisis dalaman dengan kekurangan hala tuju dan hanya bergantung kepada retorik menentang kerajaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong berkata, PN sebenarnya mempunyai peluang untuk menjadi alternatif kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun masalah dalaman kepimpinannya menjadikan gabungan itu tidak berjaya memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan.

“Sebenarnya PN boleh menjadi pembangkang yang konstruktif jika ia mahu. Ini bermakna ia perlu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan melalui proses Parlimen untuk sama-sama memberi khidmat terbaik untuk rakyat,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Himpunan Turun Anwar yang digerakkan oleh gabungan itu hanya berjaya menghimpunkan penyokong tegar Pas sahaha tanpa mampu menarik sokongan rakyat biaa yang tidak berparti.

Malah, katanya, usaha itu hanyalah cubaan membangkitkan semangat penyokong yang semakin lesu.

“Sementara perhimpunan itu yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membawa ramai hadirin, hampir kesemuanya merupakan penyokong Pas dan gagal menarik penyertaan rakyat Malaysia yang tidak berparti,” ujarnya.

Sabtu lalu, polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, himpunan tersebut berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.

Dalam pada itu, Ching Tong berkata, kelemahan ketara PN juga berpunca daripada kepimpinan Bersatu yang kini berpecah antara kem Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, pengaruh Muhyiddin semakin pudar manakala Hamzah pula tidak memiliki karisma untuk diangkat sebagai pemimpin nasional.

“Sehingga hari ini, kumpulan-kumpulan yang bersaing kuasa ini belum berjaya mencapai kata sepakat. Jika Muhyiddin memberi jalan, Hamzah yang bakal menggantikannya akan mengetepikan Azmin,” katanya.

Chin Tong turut menyentuh mengenai kedudukan Pas dalam PN apabila parti itu masih terperangkap dalam kerangka konservatif sejak muktamar 1982.

Katanya, potensi tokoh seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mendekati pengundi moderat turut terhalang oleh cengkaman puak konservatif dalam parti.

“Apabila (Tan Sri) Hadi yang sedang uzur menyatakan hasratnya untuk kekal sebagai presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan September ini, ia semakin menyukarkan Pas untuk berganjak keluar daripada pegangan 1982,” jelasnya.

Menurut Chin Tong, jika Pas dan Bersatu gagal melakukan pembaharuan dalaman, gabungan itu tidak akan mampu meyakinkan pengundi jalan tengah.

Tambahnya, sejarah menunjukkan kejayaan politik memerlukan kemampuan menjangkau luar dari kelompok penyokong tegar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast