KUALA LUMPUR – Santan iaitu jenama makanan dan minuman (F&B) di bawah Capital A melancarkan produk snek terbaharu yang diinspirasikan daripada rasa nostalgia rakyat Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh berkata, sebagai sebahagian daripada pembaharuan menu suku tahunan Santan, penumpang kini boleh menikmati pelbagai hidangan yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan yang sinonim dengan kenangan zaman kanak-kanak rakyat Malaysia.
Produk baharu itu termasuk Kaya Butter Coconut Toast, Pak Nasser’s Nasi Lemak Light serta siri minuman rendah gula Club Zero yang dijangka menarik minat pelanggan domestik dan serantau.
“Kami melihat segmen snek sebagai peluang pertumbuhan penting dan kami optimis ia boleh menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus kepada jumlah jualan keseluruhan tahun ini.
Catherine berkata, pihaknya melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang begitu teliti sehingga terhasilnya menu Kaya Butter Coconut Toast yang pertama dalam pasaran penerbangan dunia.
Beliau berkata, pengenalan menu Snek Box Kita yang ditawarkan sebagai tambahan kombo dengan hanya RM3 turut memberi sentuhan unik Malaysia di udara dan set snek itu menampilkan tiga kudapan klasik, biskut kelapa bakar, maruku dan tart nenas.
Menurutnya, Santan akan terus memberi fokus kepada tawaran lebih sihat melalui penggunaan pemanis tanpa kalori yang selamat dan tidak mengandungi aspartam, sejajar dengan peningkatan kesedaran kesihatan pengguna.
“Kami juga mengekalkan harga mesra pengguna bermula RM7.90 bagi kombo lengkap,” katanya.
Antara hidangan utama yang diperkenalkan ialah Kaya Butter Coconut Toast (roti berasaskan santan dengan kaya pandan dan mentega masin premium), dijual pada harga RM12 di penerbangan AirAsia (AK) dan RM17 di AirAsia X (D7).
Selain itu, Pak Nasser’s Nasi Lemak Light versi kompak nasi lemak ikonik yang dibungkus daun pisang (RM12) untuk penerbangan AK sahaja.
Selain itu, Zero Teh Tarik Kaw Kaw (teh tarik tanpa kalori yang mengekalkan rasa kaw, dengan 70 peratus kurang gula) Zero Calorie Asam Boi dan Zero Asam Jasmine Tea, pilihan minuman masam manis menyegarkan hasil kolaborasi dengan ZUS Coffee, masing-masing berharga RM12 ke RM13.
Barisan menu baharu ini, boleh didapati dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X dan akan diteruskan berdasarkan maklum balas dan permintaan pelanggan. – MalaysiaGazette
















