KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berhubung kejadian gangguan terhadap seekor penyu yang bertelur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cherating, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam dan telah dirakam beberapa pelancong yang berada di lokasi.
Klip rakaman video yang tular di media sosial itu memaparkan tindakan tiga lelaki mengangkat seekor penyu dan membawanya ke lokasi lubang bertelur yang telah digali.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian bagi mempercepatkan proses penyu bertelur dengan tujuan mengambil telur penyu untuk dijual atau digunakan secara haram.
“Namun begitu, setelah perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh beberapa pengunjung, suspek bertindak melepaskan semula penyu tersebut ke laut,” kata Mohd Adli dalam kenyataannya, hari ini.
Jelasnya, bertindak atas laporan yang dibuat Ketua Pusat Konservasi Penyu Cherating, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti salah seorang suspek.
Hasil tindakan pantas, katanya seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun telah ditahan di sekitar Cherating pada pukul 1 petang tadi, manakala dua lagi masih dikesan.
Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah, ujarnya.
“Kes ini seterusnya akan disiasat oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan iaitu mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985,” tambahnya lagi.
Mohd Adli berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan agensi berkaitan dalam memastikan pelaku yang mengganggu spesies marin dilindungi seperti penyu dikenakan tindakan tegas.
Orang awam juga katanya diingatkan agar tidak melakukan sebarang bentuk gangguan terhadap hidupan marin dan diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika menyaksikan sebarang aktiviti yang mencurigakan. – MalaysiaGazette
















