NIBONG TEBAL – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Jalan Besar Sungai Jawi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita berusia 48 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha NVX dipercayai maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pemandu lori berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Buat masa ini, usaha mengesan saksi bebas sedang giat dijalankan selain pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar lokasi.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5858222,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, insiden berkenaan turut tular di media sosial menerusi video dan gambar yang memaparkan mangsa lengkap berpakaian seragam RELA terbaring di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette
















