PARIS – Bilangan penghidap kanser hati akan meningkat hampir dua kali ganda di seluruh dunia menjelang 2050 melainkan lebih banyak dilakukan untuk menangani punca yang boleh dicegah seperti obesiti, pengambilan alkohol dan hepatitis.

Kes baharu kanser hati, penyakit keenam paling biasa dijangka akan meningkat kepada 1.52 juta setahun daripada 870,000 jika trend semasa berterusan, menurut data daripada Global Cancer Observatory yang diterbikan oleh jurnal perubatan Lancet.

Ia juga merupakan kanser ketiga paling mematikan daripada semua kanser, dengan kajian meramalkan ia akan mengambil 1.37 juta nyawa menjelang pertengahan abad ini.

Bagaimanapun tiga daripada lima kes kanser hati boleh dicegah, kata pasukan pakar antarabangsa itu.

Faktor risikonya adalah mengambil minuman alkohol, virus hepatitis dan pengumpulan lemak dalam hati yang dikaitkan dengan obesiti yang dipanggil MASLD, yang sebelum ini dikenali sebagai penyakit hati berlemak bukan alkohol.

Virus yang menyebabkan hepatitis B dan C dijangka kekal sebagai punca utama kanser hati pada 2050, menurut kajian yang diterbitkan pada Hari Hepatitis Sedunia.

Vaksinasi semasa lahir adalah cara terbaik untuk mencegah hepatitis B, tetapi liputan vaksin kekal rendah di negara-negara miskin termasuk di sub-Sahara Afrika, kata kajian itu.

Melainkan kadar vaksinasi dinaikkan, hepatitis B dijangka membunuh 17 juta orang antara 2015 dan 2030, tambahnya.

Penggunaan alkohol dianggarkan menyebabkan lebih daripada 21 peratus daripada semua kes kanser hati menjelang 2050, meningkat lebih daripada dua mata peratusan daripada 2022.

Kanser akibat lemak berkaitan obesiti dalam hati akan meningkat kepada 11 peratus, juga meningkat lebih daripada dua mata peratusan, para penyelidik mengira.

Kajian berskala besar, yang mengkaji bukti yang ada mengenai subjek itu, menekankan “keperluan mendesak untuk tindakan global” terhadap kanser hati, kata penulis.

Pakar-pakar itu menyeru lebih banyak kesedaran orang ramai tentang bahaya kanser hati yang boleh dicegah, terutamanya dengan memberi amaran kepada orang yang menghidap obesiti atau diabetes mengenai penyakit hati berlemak di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast