Sebahagian pelajar baharu Politeknik Sultan Idris Shah yang mendaftar pada 28 Julai 2025.

SABAK BERNAM – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) terus membuktikan TEVT bukan lagi pilihan kedua apabila menerima 890 orang pelajar bagi kemasukan pelajar baharu pada sesi 1 untuk tahun 2025/2026.

Menurut Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid, bilangan pelajar yang mendaftar semalam menunjukkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap sistem pendidikan politeknik yang berteraskan kemahiran serta bersifat holistik.

”Ini menjadi bukti jelas TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, malah kini semakin diyakini oleh masyarakat sebagai laluan kerjaya yang menjamin masa depan.

”Pendidikan TVET juga hari ini terbukti mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga memiliki nilai tambah yang tinggi, sekali gus memenuhi keperluan industri dan pasaran kerja”, katanya.

Tambahnya, pada 7 Julai 2025 yang lalu, PSIS buat julung-julung kalinya menerima kemasukan pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan ke kampus ini.

Proses pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung hari ini di kampus PSIS telah berjalan dengan lancar dan tersusun.

Barisan pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan akademik, turut hadir menyambut kehadiran ibu bapa dan pelajar serta mengadakan sesi taklimat ibu bapa dan soal jawab berkaitan hal ehwal akademik, kebajikan dan kemudahan pelajar.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui pada hari pendaftaran tersebut berasa bersyukur kerana anak mereka ditawarkan ke PSIS.

PSIS adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diplomadan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast