Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja perlu didukung seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, keupayaan Malaysia mempertemukan pihak-pihak yang bertelagah sehingga berjaya memeterai gencatan senjata merupakan pencapaian yang harus dibanggakan seluruh rakyat.

Malangnya, tambah Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk memperlekeh, memperkecil serta menghina usaha rundingan itu termasuk dengan menggunakan perumpamaan yang biadab dan tidak mencerminkan akhlak serta nilai seorang pemimpin.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak matang, malah memperlihatkan kedangkalan moral dan intelektual apabila politik sempit dijadikan neraca kepada segala-galanya.

“Lebih mengecewakan apabila ia datang daripada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemar imej negara di mata dunia, malah mendedahkan betapa rendahnya komitmen mereka terhadap prinsip kemanusiaan dan perdamaian sejagat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pelbagai pihak hari ini mendesak Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memohon maaf selepas memuat naik hantaran dan gambar satira menampilkan figura hakim berupa monyet di hadapan biri-biri dan kambing yang berebutkan pisang dipercayai merujuk usaha Malaysia merintis jalan damai dalam perang antara Thailand dan Kemboja.

Bagaimanapun hantaran itu telah diturunkan Ahmad Fadhli di laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, menjadi ahli politik tidak membawa maksud segala perkara harus dipolitikkan, apatah lagi apabila ia menyentuh hal-hal hubungan luar negara serta isu-isu kemanusiaan sejagat.

Jelas beliau, konflik antara Thailand dan Kemboja ketika ini merupakan isu yang serius dan berpotensi mencetuskan krisis serantau Asia Tenggara, termasuk memberi kesan langsung kepada Malaysia.

“Sejarah tidak boleh kita lupakan. Ketika era Perang Vietnam dan kekejaman Rejim Khmer Rouge dahulu, pantai-pantai negara kita terutamanya di Pantai Timur menjadi tempat perlindungan ribuan pelarian perang.

“Hari ini, kita masih menanggung kesan krisis pelarian Rohingya yang berpunca daripada penindasan junta tentera di Myanmar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menilai isu-isu antarabangsa secara matang serta berhemah, dan tidak sesekali meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan untuk menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast