Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed

KUANTAN – Pemuda UMNO Pekan menggesa agar Program Matrikulasi terus kekal di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tidak dipindahkan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed menegaskan, kerajaan boleh membuat kajian menyeluruh dalam usaha menghimpunkan semua sistem pra universiti seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Asasi, Diploma, IPG dan sebagainya tetapi tidak sesekali menyentuh Matrikulasi.

“Program ini diwujudkan pada 1999 hasil Kertas Kabinet yang digagaskan oleh Datuk Seri Najib  Razak ketika menjadi Menteri Pendidikan sebagai laluan khas dan pantas untuk pelajar Melayu dan Bumiputera ke IPTA.

“Lebih 750,000 pelajar telah dilahirkan melalui program ini majoritinya anak Bumiputera dari luar bandar dan keluarga B40. Inilah saluran mobiliti sosial paling berkesan untuk rakyat majoriti negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Fakhrul berkata demikian mengulas kenyataan Menteri KPT, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang mengatakan kerajaan kini dalam perancangan menyusun semua kursus laluan pra universiti ke bawah kementerian itu dengan pelaksanaannya dijangka tahun hadapan.

Selain itu beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang dilaporkan berkata, usaha reformasi yang digerakkan akan terus diperluas bagi memastikan kelayakan para pelajar diiktiraf secara menyeluruh melalui mekanisme pendaftaran automatik dan sistem mata merit yang lebih adil.

Kah Woh dilaporkan berkata, reformasi pendidikan yang dirancang akan menumpukan kepada pengiktirafan pelbagai pencapaian pelajar termasuk mereka yang memperoleh 10A, memiliki mata merit yang tinggi serta menunjukkan prestasi cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.

Katanya lagi, antara langkah awal yang telah dimulakan ialah menyelesaikan isu berkaitan Matrikulasi secara tuntas, demi menjamin ketelusan dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

“Kami juga menolak sebarang desakan untuk menambah kuota bukan bumiputera dalam program ini. Kuota 90% bumiputera dan 10% bukan bumiputera mesti dikekalkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kerajaan ingin menyusun semula laluan ke IPTA, buatlah kajian menyeluruh terhadap semua sistem prauniversiti STPM, Asasi, Diploma, IPG dan sebagainya tetapi jangan sentuh Matrikulasi.

“Jangan sekali-kali gadai masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera atas nama ‘penyelarasan sistem’,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast