Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 JULAI 2025.

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengamal prinsip tiada yang tertinggal dan terpinggir apabila turut memberikan peruntukan kepada keperluan untuk penyelenggaraan rumah-rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, melalui Belanjawan 2024 dan 2025, peruntukan tahunan berjumlah RM50 juta telah disediakan kepada kementeriannya untuk melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan itu akan disalurkan kepada mana-mana organisasi RIBI yang layak bagi menampung kerja-kerja pembaikan, pengubahsuaian, penyelenggaraan dan kecemasan tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan dalam garis panduan ditetapkan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menerima sambutan begitu menggalakkan dalam kalangan RIBI untuk inisiatif ini. Sehingga 7 Julai lalu, 81.5 peratus peruntukan berjumlah RM40,769,025.54 telah diluluskan kepada 336 RIBI seluruh negara.

“Baki peruntukan sebanyak RM9.23 juta juga dijangka 100 peratus selesai dibelanjakan pada penghujung Ogos ini.

“Ini merupakan satu rekod yang amat cemerlang bagi KPKT dalam menguruskan peruntukan kerajaan dengan penuh hemah, telus dan saksama. Pada tahun 2024 pula, sebanyak 430 RIBI telah diluluskan peruntukan berjumlah RM48,949,074.53,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) yang meminta KPKT
menyatakan berapa penerima mengikut negeri dan jenis rumah ibadah mengikut kategori dari peruntukan RM50 juta yang disediakan untuk bantuan penyelenggaraan dan pembaikan rumah ibadat bukan Islam bagi tahun 2024 dan 2025.

Kor Ming memberitahu, permohonan yang diterima oleh kementerian akan diteliti secara telus dan dinilai oleh Pasukan Pemantauan dan Penilaian serta dibentangkan
untuk pertimbangan Mesyuarat Taskforce Inisiatif Penyelenggaraan RIBI
seluruh negara.

“Permohonan secara dalam talian melalui eribi.kpkt.gov.my wajib disertakan dengan dokumen sokongan berikut aiitu salinan sijil pendaftaran di bawah entiti undang-undang seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan sebagainya, salinan surat pengesahan akaun bank atas nama organisasi.

“Turut perlu disediakan adalah salinan dokumen status tanah seperti warta tanah/ geran tanah/carian rasmi/ surat kebenaran pemilik tanah atau ladang/ perjanjian sewa bangunan atau tanah dan iv. anggaran kos terperinci senarai kuantiti  tidak melebihi RM250,000.00 beserta gambar-gambar semasa berkaitan kerja-kerja yang dimohon.

“Dalam meraikan kepelbagaian beragama di Malaysia, KPKT terus komited
melaksanakan inisiatif RIBI ini secara profesional tanpa meminggirkan
mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast