KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah menahan reman enam orang anggota polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan kesalahan memiliki air ketum.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Khamisah Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh pagi tadi.
Menurut sumber, keenam-enam suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.
“Kejadian bermula apabila kesemua suspek telah menahan lima orang individu dalam satu operasi di sekitar daerah Temerloh pada Mei lalu kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki air ketum.
“Salah seorang suspak dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















