KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini meluangkan masa melawat Koperal Mohd Nazri Sudiman yang cedera ditikam semasa bertugas di Pasar Pudu, di sini, semalam.

Mangsa merupakan anggota di Balai Polis Pudu kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik (CICU), Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HUCTM), Cheras.

Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di perut akibat ditikam semasa membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di Pasar Pudu, Jalan Yew Pudu, Kuala Lumpur.

“Lawatan ini sebagai tanda keprihatinan Ketua Polis Negara untuk memberi sokongan moral kepada anggota yang tercedera selain selain memastikan aspek kebajikan pesakit dan keluarga terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut mengiringi lawatan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah, Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Pudu, jam 6.30 petang semalam.

Ketika kejadian, anggota yang bertugas di Balai Polis Pudu itu dilaporkan sedang melakukan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.

Suspek bertindak melarikan diri sejurus menikam mangsa, namun berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian hasil tindakan pantas pasukan polis.

Mangsa segera dikejarkan ke HCTM bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala polis turut merampas pisau yang digunakan suspek.

Siasatan awal mendapati, suspek berusia 56 tahun itu memiliki 14 rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah serta jenayah harta benda dan  kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast