KUALA LUMPUR – Pelantikan Muhammad Fikri Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan disifatkan sebagai suntikan segar yang mampu memperkukuh jentera parti serta memperluas impak pembangunan komuniti Islam bandar secara menyeluruh.
Muhammad Fikri yang juga Ketua Cabang Keadilan Putrajaya dan bekas Imam Masjid Negara membawa bersama pengalaman luas dalam bidang agama dan kerja-kerja sosial menjangkaui perbezaan lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman, kehadiran Fikri di peringkat tertinggi parti itu membuka lembaran baharu bagi pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani cabaran komuniti bandar, terutama dalam aspek spiritual, pendidikan, dan kebajikan.
“Kepimpinan beliau tidak hanya terhad kepada pentas politik, tetapi juga telah terbukti melalui khidmatnya sebagai seorang tokoh agama yang disegani.
“Gabungan antara kredibiliti moral dan keupayaan strategik menjadikan beliau individu paling layak untuk menggalas amanah ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Fikri dijangka menjadi antara ‘arkitek utama’ dalam merangka pelan tindakan MPN Wilayah Persekutuan yang lebih inklusif, khususnya selari dengan agenda Malaysia Madani yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, integriti dan kemajuan seimbang.
“Bukan sekadar menyelaraskan program pembangunan, beliau diyakini mampu memperkukuh dasar-dasar parti agar lebih dekat dengan denyut nadi masyarakat bandar sambil mengangkat peranan agama sebagai asas perpaduan dan kesejahteraan bersama,” tambah Hafiz. -MalaysiaGazette















