Orang ramai menggunakan tangga akibat kerosakkan lif di Pejabat MC, Blok 20, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kerosakan beberapa lif di Blok P20, Taman Bukit Angkasa di sini, memberi kesan terhadap kehidupan harian penduduk terbabit.

Kemudahan itu yang telah rosak lebih tiga bulan mengundang kegusaran kepada penduduk, khususnya wanita dan warga emas yang tidak berdaya untuk mengangkut barangan harian dengan menggunakan tangga kediaman masing-masing.

Seorang penduduk yang sudah menetap lebih 20 tahun di situ, Mariam Mohamad berkata, penduduk yang tinggal di tingkat tujuh hingga sembilan kini terpaksa mengupah warga asing untuk membantu mengangkat barang seperti tong gas dan barang dapur,

“Kami terpaksa bayar RM15 hingga RM30 kepada pekerja asing untuk bantu angkat barang naik tangga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Orang ramai menggunakan tangga akibat kerosakkan lif di Pejabat MC, Blok 20, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 OGOS 2025.

Menurutnya, bukan semua orang mempunyai keluarga yang dapat membantu setiap masa, sebaliknya ramai warga emas tinggal sendirian atau bersama pasangan yang juga sudah uzur.

Ada antara mereka yang tidak dapat turun selama berminggu-minggu kerana hanya bergantung kepada anak-anak untuk membeli makanan dan keperluan harian.

“Saya sendiri dah dua bulan tak turun. Nak ke surau pun tak mampu. Nak beli lauk pun tunggu anak balik.

“Kadang-kadang jiran pun kena minta tolong, kami tetap dikenakan bayaran penyelenggaraan RM60 sebulan walaupun perkhidmatan asas seperti lif langsung tidak berfungsi,” ujarnya.

Penduduk P20, Mariam Mohammad bercakap pada media berkenaan kerosakkan lif di Pejabat MC, Blok 20, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 OGOS 2025.

Situasi yang sama turut dirasai Rohayah Jantan, 67, yang menghidap masalah lutut kronik dan tinggal di tingkat tujuh yang terpaksa menggunakan tangga untuk melakukan urusan harian.

“Makcik turun satu tangga satu-satu, ambil masa setengah jam. Lutut ni dah rosak. Doktor pun kata makcik dah tiga bulan tak datang klinik. Bukan makcik tak nak, tapi nak turun pun tak mampu,” jelas beliau.

Penduduk P20, Rohaya Jantan bercakap pada media berkenaan kerosakkan lif di Pejabat MC, Blok 20, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 OGOS 2025.

Disebabkan lif rosak, Rohayah kini tidak lagi mampu mendapatkan rawatan berkala di klinik malah ubat terpaksa diambil oleh menantunya.

Tambah wanita itu, terdapat penduduk yang mengalam masalah kesihatan kritikal, pesakit buah pinggang tidak dapat pergi ke hospital.

“Ada yang buat dialisis tiga kali seminggu duduk tingkat 9. Dah terpaksa duduk sementara di ruang kosong dekat bawah. Macam itu sekali keadaannya. Itu pun belum tentu selesa. Tapi apakan daya,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan dan wakil rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi hari ini bertemu penduduk dan memberi komitmen untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya telah meluluskan (peruntukan) RM130,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh bagi menghidupkan semula salah satu daripada empat lif. Kami juga dalam proses memohon penggantian lif sepenuhnya.

“Saya faham kesulitan penduduk, terutama warga emas. Isu ini saya akan bawa ke perhatian pihak Wilayah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, agar penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk selepas taklimat berkenaan isu lif di Pejabat MC, Blok 20, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 3 OGOS 2025.

Dalam pada itu, penduduk, Hassan Mustafa berharap kerja-kerja pembaikan lif dapat dipercepatkan.

Ini kerana tempoh menunggu selama beberapa bulan hanya akan memburukkan keadaan kesihatan warga emas, katanya.

“Kami bukan nak minta lebih. Kami cuma nak lif berfungsi. Itu saja. Jangan biarkan kami terus terperangkap dalam rumah sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast