GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang meneruskan komitmennya untuk memperkasa suara akar umbi menerusi sesi temu bersama ahli parti di kawasan Parlimen Tanjong dan Jelutong yang diadakan semalam.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa kepimpinan DAP sentiasa berpaksikan prinsip kebersamaan dan perjuangan kolektif demi rakyat.
“Kita tidak melupakan sesiapa, termasuk para veteran parti yang menjadi tulang belakang perjuangan sejak dahulu.

“DAP akan terus bersatu dalam menyuarakan hak dan kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap.
Beliau turut mengangkat kawasan Tanjong dan Jelutong sebagai simbol sejarah perjuangan tokoh besar parti seperti mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang.
“DAP akan menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini dan Pulau Pinang akan menjadi antara lokasi penting bagi meraikan kejayaan ini dengan penuh bermakna,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Kawasan Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying menekankan keperluan kerjasama erat antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan reformasi yang diperjuangkan diterjemahkan kepada rakyat.
Beliau turut menggesa agar segala pencapaian dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dimaklumkan secara meluas kepada masyarakat.
Antara isu lain yang dibangkitkan dalam sesi dialog bersama akar umbi termasuklah pelaksanaan projek Mutiara LRT, pengurusan pihak berkuasa tempatan (MBPP), lesen tadika dan pusat tuisyen, kebajikan ahli serta penglibatan belia dalam parti. – MalaysiaGazette
















