Mohd Alwi.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan tiga pelancong asing dari Taiwan, Belanda dan Syria merupakan antara mangsa sindiket pukau membabitkan lima warga Iran yang mengakibatkan mereka kerugian wang tunai.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kelima-lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita warga berusia antara 19 hingga 35 tahun itu dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian yang berlaku di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.

“Modus operandi mereka adalah dengan berpura-pura beramah mesra dengan pelancong sebelum meminta mangsa menunjukkan wang tunai.

“Ketika perbualan berlangsung, wang mangsa diambil tanpa disedari, dan hanya disedari selepas suspek beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Alwi, bertindak atas laporan dibuat mangsa, satu operasi khas yang dikenali sebagai Op Tourist dilakukan di kawasan Persiaran Gurney di sini, sebelum berjaya merungkai kegiatan jenayah kumpulan terbabit yang dipercayai aktif menyasarkan pelancong sebagai mangsa.

“Polis turut merampas pelbagai mata wang asing, dua kenderaan dan sepaket ganja dalam serbuan tersebut. Ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis THC,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 380 akta sama serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

ARTIKEL BERKAITAN:

5 warga Iran direman, guna helah duit pukau pelancong asing

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan lima warga Iran termasuk sepasang suami isteri direman empat hari bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di kawasan tumpuan sekitar pusat bandar.

Perintah reman sehingga 6 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap kesemua suspek bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast