JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menjalankan siasatan berhubung kes tular menunjukkan seorang lelaki dengan kereta Singapura mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, berdasarkan gambar tular kejadian didakwa berlaku di sebuah stesen minyak di dearah berkenaan.
“KPDN Johor mengambil maklum akan penularan gambar sebuah kenderaan asing dipercayai milik warga Singapura sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi stesen minyak yang terbabit serta sama ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan sedia ada,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum itu tular dalam media sosial, gambar seorang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dilihat sedang mengisi RON95 di dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak didakwa di Iskandar Puteri.
Pemilik kenderaan berkenaan turut didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya dahulu sebelum dilihat mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar.
Tindakan itu mengundang kemarahan orang ramai dengan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku dengan warga asing ‘tapau’ RON95 di negara ini selain mahu tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan.- MalaysiaGazette
















