SEGAMAT – Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar dua tiang elektrik di Kilometer 13 Jalan Segamat-Kuantan di sini hari ini.
Kemalangan tersebut mengorbankan pemandu Mohd Izuddin Harmaini yang berusia 51 tahun dan isterinya, Nur Syamimi Rosli berumur 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 2 petang melibatkan kereta jenis Ford Mustang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta tersebut yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat. Apabila sampai di tempat kejadian kereta itu telah terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar dua batang tiang elektrik.
“Pemandu dan penumpang tersebut mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia do tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk menghubungi balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9325811.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Taufik berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran simpang ke Felda Pemanis.
Jelasnya, pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sehingga kedua-dua berjaya dikeluarkan sebelum pasangan tersebut disahkan sudah meninggal dunia.
Mayat tersebut katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas operasi itu yang melibatkan enam anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) selesai.
Terdahulu tular dalam media sosial memaklumkan mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dan merupakan pemilik sebuah kedai emas maut dalam kemalangan di jalan berkenaan.- MalaysiaGazette
















