KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta Perodua Bezza berhampiran Stesen Minyak Five di Jalan Kuantan – Kemaman, Sungai Ular, di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata Mohamed Yunus, 38, beralamat terakhir di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
”Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu mangsa menunggang motosikal jenis KTM Duke 200 bertembung dengan kereta jenis Perodua Bezza.
”Siasatan awal mendapati motosikal mangsa datang dari arah Kuantan menghala ke arah Kemaman.
”Ketika melalui kawasan tersebut, sebuah kereta dipercayai keluar dari simpang kiri jalan secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal gagal mengelak dan berlaku pelanggaran,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mohd Adli, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.
Mohd Adli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu kereta memastikan keadaan jalan utama selamat sebelum keluar dari simpang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujarnya. – MalaysiaGazette
















