Ahmad Maslan melihat keadaan Jambatan Sungai Pontian Besar di Bandar Pontian, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Proses menaik taraf Jambatan Sungai Pontian Besar di bandar ini daripada dua menjadi empat lorong akan dimulakan pada Oktober ini dengan kos RM49 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan mengambil masa tiga tahun dengan panjang kira-kira 250 meter.

“Jambatan ini akan mempunyai mercu tanda kapal layar di kiri dan kanan jambatan sekali gus ini akan menjadi tarikan pelancongan di bandar ini terutama pada Tahun Melawat Johor 2026.

“Proses tender untuk projek ini akan dilakukan pada September ini dan upara pecah tanah akan disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan jambatan itu selepas mendengar taklimat projek-projek pembangunan di daerah ini di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Azman Ibrahim dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Katanya, projek berkenaan akan memberi keselesaan dan mengurangkan kesesakan di bandar ini sama fungsinya seperti projek pelebaran laluan di Jambatan Sungai Pontian Kecil di bandar ini daripada dua menjadi empat lorong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, projek pelebaran jalan di Jambatan Sungai Pontian Kecil itu yang sedang dijalankan menelan kos RM22 juta.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan memohon untuk melaksanakan projek pembesaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di Jambatan Parit Semerah dengan kos RM25 juta.

Jelasnya, projek berkenaan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 dan dirancang kerja-kerja melebar jalan akan dilakukan pada tahun depan.

Ahmad memberitahu, Hospital Pontian juga akan dinaik taraf dalam tahun ini yang akan mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Kita minta kerja-kerja menaik taraf Hospital Pontian disegerakan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast