Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 97 rakyat Malaysia ditahan dan diusir oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana cuba mengerjakan ibadat haji tanpa visa yang sah pada musim haji tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, berdasarkan maklumat daripada Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah, seramai 34 jemaah turut didenda atas kesalahan sama.

Menurutnya, jemaah haji yang terkandas itu disebabkan cubaan menggunakan visa pelancong bagi tujuan melaksanakan haji (overstay) dan agensi atau individu terlibat bukan dalam kalangan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Jelas beliau, TH hanya boleh mengambil tindakan terhadap PJH berlesen dengan agensi tersebut iaitu sama ada membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan atau mengenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi agensi tidak berlesen dengan TH, tindakan tegas dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli menjawab soalan Zahari Kecik (PN-Jeli) berkenaan tindakan kerajaan dalam menangani masalah jemaah haji atau umrah yang sering tertipu oleh ejen yang menyediakan pakej haji atau umrah.

Sementara itu, menurut Zulkifli, berhubung status kes 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan haji baru-baru ini, sebanyak 25 laporan polis dibuat mangsa terlibat setakat 23 Jun lalu.

Siasatan kes itu mendapati terdapat pelanggaran peruntukan Seksyen 27(1)(a), (c) dan (d) Akta Tabung Haji 1995 oleh pihak yang mengelolakan perjalanan haji tersebut walaupun mereka bukan pemegang lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah bagi musim haji 2025.

Tambah beliau, setakat 9 Julai lalu juga, dua individu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2)(a) akta yang sama bersabit kes tersebut.

“MOTAC telah dimaklumkan berkenaan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Tabung Haji 1995 oleh syarikat pelancongan yang terlibat.

“MOTAC boleh mengambil tindakan penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 8 Akta 482 kerana pengusaha pelancongan berlesen tersebut telah melanggar mana-mana undang-undang bertulis lain serta menjalankan perniagaannya mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam,” katanya.

Kepada soalan kerugian yang ditanggung jemaah haji dan umrah bagi tahun lalu sehingga kini disebabkan penipuan ejen, Zulkifli berkata, MOTAC menerima sebanyak 204 aduan berkaitan ibadat umrah dengan anggaran kerugian lebih RM3.6 juta sepanjang tempoh tersebut.

Bagi ibadat haji pula, ujarnya, sebanyak 58 aduan diterima MOTAC melibatkan kerugian kira-kira RM600,000 sepanjang tempoh sama.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 182 bakal jemaah haji terkandas di KLIA selepas mendapat surat tawaran haji yang kononnya dikeluarkan oleh TH.

Mangsa dikatakan menerima surat menggunakan logo TH yang memaklumkan mereka dipilih bagi menunaikan haji, dan urusan penempahan tiket serta hotel pula kononnya dilakukan syarikat berdaftar dengan TH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast