Para jemaah haji menunggu untuk berlepas ke Tanah Suci Bagi mengerjakan ibadah Haji, Tabung Haji (TH) juga mengadakan majlis mengucapkan selamat jalan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 30 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Bakal jemaah haji dalam giliran bagi musim 1447H/2026M diingatkan supaya mengemas kini rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri serta menambah ilmu berkaitan fardu ain dan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, giliran menunaikan haji kini boleh disemak melalui aplikasi dalam talian THiJARI.

Katanya lagi, semakan juga boleh dibuat di pejabat cawangan TH di seluruh negara.

“Langkah proaktif ini selari dengan usaha berterusan TH dalam mempertingkatkan perkhidmatan demi manfaat jemaah haji Malaysia.

“Makluman peringatan awal ini dikeluarkan bagimembantu bakal jemaah membuat persediaan lebih awal. Berdasarkan pengalaman, ramai yang tidak berjaya melayakkan diri menerima tawaran haji disebabkan faktor kesihatan dan kewangan,” katanya menerusi kenyataan.

Mustakim turut menyarankan bakal jemaah meningkatkan simpanan di TH supaya wang belanja haji yang dijangka meningkat dari tahun ke tahun sentiasa mencukupi.

Sehubungan itu, beliau menyeru bakal jemaah agar menyimpan secara berkala dan merangka perancangan kewangan sebaik mungkin menjelang tiba tahun giliran mereka.

“Ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan persediaan amat rapi, khususnya bagi memenuhi syarat istito’ah (kemampuan).

“Peringatan mesra ini diharap dapat membantu bakal jemaah meningkatkan tahap ketersediaan mereka agar layak menerima tawaran dan kemudiannya dapat menunaikan ibadat haji dengan lancar serta memperoleh haji mabrur,” tambahnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast