KOTA KINABALU – Reruai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendapat sambutan sepanjang tiga hari sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.
Melalui pengisian segar di segmen Agro Millenia, reruai e-sukan NAFAS menerima sambutan hampir 5,000 pengunjung muda sepanjang tiga hari penganjuran hasil tarikan pelbagai aktiviti interaktif dan suasana moden yang ditampilkan.
Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, sambutan luar biasa daripada pengunjung khususnya anak muda membuktikan pendekatan digital, visual dan interaktif amat relevan dalam memperkenalkan semula industri pertanian kepada generasi baharu.

“Antara faktor tarikan ialah suasana moden dengan skrin LED bersaiz besar, persembahan visual menarik, aktiviti cabutan bertuah dan hadiah eksklusif seperti motosikal, skuter elektrik, jam pintar serta patung Capybara edisi terhad.
“Kami juga adakan ‘happy hour’ untuk pembeli produk minuman jenama Peladang sebagai nilai tambah,” katanya.
OD Esports muncul juara Mobile Legends
Kejohanan e-sukan Mobile Legends anjuran NAFAS bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menjadi tumpuan utama apabila menghimpunkan 43 pasukan dari seluruh Sabah yang bersaing untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
Pasukan OD Esports dari Papar dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM4,000, piala dan sijil selepas menewaskan Sonic The Hedgehog dari Kota Kinabalu yang meraih RM2,000 sebagai naib juara. Stark Origin dan Sonic Esports X pula masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Peserta OD Esports, Adrian Adlie Ku, 21, berkata kejohanan itu membuka peluang kepada anak muda menonjolkan bakat serta membina kerjasama dalam pasukan.
“Kami mula kenal menerusi permainan Mobile Legends dan mula jadi satu pasukan sejak tahun lalu. Program besar macam ni beri kami ruang untuk serlahkan kemahiran,” katanya.
Sementara itu, pengurus Sonic The Hedgehog, Daniel France berharap penganjuran seperti ini diteruskan kerana dapat menyatukan bakat digital di Sabah.
Baja baharu tarik perhatian, jualan cecah RM80,000
NAFAS turut mengambil kesempatan memperkenalkan wajah dan varian baharu Baja Super Peladang yang tampil dengan formulasi khas dan rekaan beg baharu. Produk ini turut menerima tempahan memberangsangkan sebaik sahaja majlis pelancarannya yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.

Antara varian baharu yang diperkenalkan termasuk Super Ultra K berasaskan mono ammonium phosphate (MAP), serta Super 45D dan Super 16 berasaskan sulphate of potash (SOP) — dirumus untuk tanaman yang memerlukan kawalan klorin seperti sayuran berdaun dan buah-buahan.
Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB), Zalifudin Md Arshad berkata aa merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jenama Baja Super Peladang sebagai produk tempatan berkualiti tinggi yang diyakini oleh para petani di seluruh negara.
Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen NAFAS dalam menghasilkan produk tempatan berinovasi dan memperkukuh profesionalisme dalam sektor pertanian,” katanya.
Menurut Muhammad Faris, reruai NAFAS mencatat jumlah jualan sebanyak RM80,000, melibatkan produk baja, input pertanian dan minuman jenama Peladang.
Perkukuh jaringan industri, libatkan generasi muda
Sebagai antara penaja utama HPPNK 2025, NAFAS menampilkan pendekatan menyeluruh merangkumi pembangunan industri, penyertaan generasi pelapis dan pengukuhan jaringan kerjasama strategik, khususnya di Sabah.

“Kami mahu anak muda melihat agromakanan sebagai satu bidang yang moden, relevan dan ada masa depan. Bila pendekatan lebih visual dan mesra digital, mereka lebih mudah terlibat,” jelas Faris.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif NAFAS dalam mendekatkan sektor pertanian dengan pendekatan yang lebih segar.
“E-sukan bukan sekadar hiburan. Ia boleh menjadi pemangkin untuk menarik minat generasi muda terhadap sektor agromakanan. Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan,” katanya ketika merasmikan program Esports 2.0 NAFAS-NEKMAT pada hari pertama penganjuran.

Menurut Muhammad Faris lagi, kejohanan Esports 2.0 NAFAS-NEKMAT ini merupakan siri kedua anjuran Bersama selepas penganjuran sulung yang diadakan ketika HPPNK 2023 di Ipoh, Perak.
“Melihat kepada sambutan luar biasa sebelum ini, kami ambil keputusan untuk perkasakan lagi pengisian digital ini sebagai satu komponen tetap dalam usaha menarik minat generasi muda terhadap sektor agromakanan,” jelasnya.
Secara keseluruhan, penyertaan NAFAS di HPPNK 2025 bukan sahaja berjaya memperkenalkan produk dan teknologi terkini, malah membuktikan bahawa agromakanan mampu tampil moden, dinamik dan inklusif — sejajar dengan aspirasi masa depan sektor pertanian negara. – MalaysiaGazette
















