KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri kini memantau rapi situasi banjir besar yang melanda Republik Demokratik Rakyat Lao (Lao PDR) susulan hujan lebat akibat Monsun Barat Daya dan Taufan Wipha.
Menurut Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), bencana itu telah menjejaskan lebih 58,000 orang daripada 34,000 keluarga di 10 wilayah.
Setakat ini, sembilan kematian dilaporkan manakala empat lagi masih hilang.
“Pada masa ini tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir ini,” menurut kenyataan Wisma Putra semalam.
Walaupun begitu, rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Lao PDR dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati serta mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan dan peka terhadap perkembangan cuaca serta nasihat perjalanan rasmi.
Kenyataan itu turut menggesa rakyat Malaysia untuk mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane bagi memudahkan urusan bantuan dan mendapatkan maklumat terkini sepanjang berada di negara berkenaan.
Sebarang bantuan konsular boleh diperoleh dengan menghubungi Kedutaan melalui talian +856 21 414205 / +856 21 414201 atau nombor kecemasan +856 20 5553 1801. Emel rasmi adalah [email protected].
Alamat Kedutaan adalah di Nongbone Road, Ban Phonexay, P.O. Box 789, Vientiane, Lao PDR.
Kementerian memberi jaminan akan terus memantau perkembangan terkini dan menyediakan maklumat bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di sana. – MalaysiaGazette
















