Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Malaysia kini berada di ambang krisis ekonomi serius.

Ia susulan peningkatan mendadak hutang negara dan hutang isi rumah yang amat membimbangkan, katanya.

“Pendedahan Timbalan Menteri Kewangan bahawa hutang kerajaan Persekutuan telah mencecah RM1.3 trilion manakala hutang isi rumah meningkat ke RM1.65 trilion sepatutnya menjadi amaran jelas Malaysia kini berada di ambang krisis ekonomi yang amat serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, meskipun amaran itu jelas namun kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih berada dalam mod business as usual tanpa sebarang pelan konkrit atau strategi berkesan untuk menangani krisis yang sedang melanda.

“Hutang kerajaan telah melepasi had statutori 65 peratus KDNK apabila mencecah 66.7 peratus atau RM1.39 trilion setakat Jun 2025.

“Jika dicampur dengan liabiliti luar jangka sebanyak RM384.6 bilion, beban fiskal ini menjadi semakin menekan,” jelasnya.

Tun Faisal turut menyentuh peningkatan hutang isi rumah kepada RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang (DSR) pinjaman baharu mencecah 41 peratus dan hampir satu daripada lima isi rumah dewasa tidak mempunyai sebarang simpanan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat minggu lalu.

“Kuasa beli rakyat semakin mengecil, jualan runcit dan sektor PKS terjejas, manakala permintaan barangan tahan lama dan pelaburan isi rumah menjadi lemah. Semua ini memberi tekanan kepada ekonomi negara,” kata Tun Faisal.

Beliau turut membidas komitmen luar negara kerajaan Madani seperti pembelian 60 pesawat Boeing, pelaburan USD240 bilion ke dalam ekonomi Amerika Syarikat serta kelonggaran tarif ke atas lebih 6,000 baris produk dari AS yang dikatakan bakal menjejaskan industri tempatan.

“Produk import AS akan jadi lebih murah berbanding barangan tempatan, menyebabkan pengeluar dan PKS tempatan hilang daya saing.

“Ini boleh menyebabkan kilang tutup, pekerja hilang kerja dan lebihan dagangan negara terhakis,” katanya.

Justeru, Tun Faisal memberi amaran negara sedang berdepan tiga krisis serentak iaitu krisis fiskal, krisis isi rumah dan krisis keyakinan rakyat serta pelabur terhadap dasar ekonomi negara.

“Sampai bila kerajaan ingin terus menafikan realiti sedangkan ekonomi negara semakin menghampiri kegagalan struktur dan sistemik?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast