TANGKAK – Dua wanita terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan pelaburan dalam talian yang tidak wujud melibatkan kerugian RM60,308 baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, bagi kes pertama melibatkan mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 25 tahun.
“Wanita berkenaan tertarik dengan satu pelaburan dalam talian hujung bulan lalu sebelum setuju untuk melakukan 10 transaksi dari 26 hingga 28 Julai lalu.
“Mangsa kerugian RM22,900 selepas mendapati ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bagi kes kedua pula, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun terpedaya selepas dijanjikan keuntungan yang menarik dalam satu tawaran kerja.
Menurutya, mangsa yang berminat kemudian melakukan sembilan transaksi dari 7 Julai lalu sehingga kelmarin melibatkan kerugian RM37,408.
Beliau memberitahu, kedua-dua mangsa yang menyedari sudah ditipu membuat laporan polis berasingan semalam.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi menawarkan dan pelaburan yang tidak munasabah.
Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam.
Orang ramai juga katanya, dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















