Dua maut tercampak selepas SUV dinaiki kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, Kluang hari ini

KLUANG – Seorang juruteknik dan rakannya maut tercampak selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki kemalangan di Kilometer 68.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara di sini hari ini

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 8 pagi melibatkan SUV jenis Proton X50 yang dinaiki tiga mangsa.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati SUV terbabit datang dari Johor Bahru menghala ke arah Kuala Lumpur.

“Sampai di tempat kejadian kenderaan tersebut disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di tengah.

“Kedua-dua mangsa tercampak di bahu jalan sebelah kiri manakala kenderaannya terbabas ke tengah jalan di lorong sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu SUC tersebut, G Logharaj yang berusia 21 tahun yang merupakan seorang juruteknik dan beralamat di Skudai, Johor Bahru cedera parah di kepala dan badan.

Menurutnya, penumpang hadapan, S Seelankumar berusia 26 tahun dan tidak bekerja beralamat di Cyberjaya, Selangor, cedera parah di kepala dan badan.

Bahrin berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 21 tahun yang duduk di belakang tidak cedera.

Tambahnya, kes disiasat bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast