KUALA LUMPUR – MIC menghulurkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada jurugambar muda negara, Tinesh Sritharan, bagi membolehkannya menyertai projek dokumentari bersama National Geographic Explorer di Hutan Simpan Negara Masai Mara, Kenya,
Sumbangan itu membolehkan Tinesh merealisasikan projek impiannya bertajuk ‘Echoes of the Savannah’ di Kenya yang akan merakam fenomena migrasi besar haiwan liar di benua Afrika.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menyerahkan sumbangan kewangan itu kepada Tinesh selepas isu kekakangan kewangan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berdasarkan laporan media baru-baru ini.
MIC bertindak pantas dalam tempoh kurang tiga jam selepas pertemuan Tinesh dengan Vigneswaran, sekali gus membuktikan komitmen parti itu untuk menyokong anak muda Malaysia yang berpotensi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Ini satu detik yang membanggakan. Perjalanan Tinesh mencerminkan ketabahan dan semangat juang anak muda kita. MIC berbesar hati menjadi sebahagian daripada kisah kejayaannya membawa semangat Malaysia ke persada dunia,” kata Vigneswaran hari ini.
Tinesh dijangka berlepas ke Kenya hujung minggu ini bagi memulakan tugasan khasnya bersama pasukan National Geographic.
Projek tersebut dijangka membuka ruang lebih luas kepada bakat tempatan dalam bidang fotografi alam semula jadi, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar cita-cita di pentas global.
Tinesh bakal membuat rakaman pergerakan tahunan hidupan liar daratan (gnu, zebra dan gazel) terbesar di dunia dari Serengeti di Tanzania ke padang rumput di Masai Mara.
Cadangan beliau kepada National Geographic Society untuk mendokumentasikan fenomena itu diluluskan pada April, dan Tinesh dijadual memulakan kerja lapangan di Masai Mara pada 10 Ogos ini yang turut bertepatan dengan kemuncak musim migrasi. -MalaysiaGazette
















