KLUANG – Polis menahan dua lelaki yang mempunyai rekod lampau kerana memiliki sepucuk pistol palsu semasa melakukan rondaan di pekan Kahang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki berusia 22 dan 32 tahun pada pukul 2.30 petang itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai sepucuk pistol palsu dalam kenderaan dinaiki kedua-dua tahanan.
“Hasil semakan kereta dinaiki suspek tiada laporan kehilangan dilaporkan namun ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah manakala suspek kedua, satu rekod dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Permohonan tahanan reman keatas kedua-dua tahanan akan dilakukan hari ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















