KLUANG – Seorang nenek menerima ‘tetamu’ tidak diundang apabila rumahnya dipecah masuk lelaki bertopeng dalam kejadian samun di Kampung Melayu, Simpang Renggam dekat sini semalam.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu ketika mangsa yang tinggal bersendirian sedang berehat di ruang tamu.
Perbuatan lelaki itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah berkenaan.
Rakaman video tular berdurasi dua minit 50 saat itu menunjukkan suspek berpakaian baju biru gelap masuk ke dalam rumah dan menyelongkar ruang tamu untuk mencari barang berharga termasuk wang tunai.
Wanita warga emas itu turut bertanya “awak datang dari mana?” namun diminta oleh suspek untuk duduk dan tidak bangun.
Selain itu mangsa juga menjerit meminta pertolongan selepas suspek merampas wang dalam dompetnya.
Bagaimanapun wajah suspek yang dianggarkan berusia sekitar 40-an tidak dapat dikenal pasti kerana memakai topeng serta dipercayai sedar akan kehadiran CCTV di rumah tersebut.
Lebih mengejutkan, suspek dilaporkan tidak membawa sebarang senjata tajam sebaliknya memujuk wanita itu agar meneruskan makan supaya tidak mengganggu perbuatannya menyelongkar rumah.
Rakaman kejadian itu turut tular dalam media sosial mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan, kenyataan akhbar berkenaan kes itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















