Nik Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengimbau kembali ketegasan almarhum ayahandanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang istiqamah berdoa qunut nazilah setiap pagi terhadap musuh-musuh Islam termasuk golongan munafik dari dalam dan luar negara.

Menurut bekas Ahli Parlimen Bachok itu, doa tersebut mencerminkan sikap tegas seorang ulama dalam mempertahankan Islam daripada ancaman pihak yang berpura-pura menyokong Islam tetapi sebenarnya menentangnya dari dalam.

“Almarhum ayahanda setiap pagi berdoa Qunut Nazilah ke atas musuh Islam termasuk munafikin di dalam dan luar negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan secara khusus individu atau kelompok yang dimaksudkan sebagai musuh dalam atau luar negara yang menjadi sasaran doa tersebut.

Hantaran berkenaan dilihat sebagai peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman terhadap agama bukan hanya dari musuh luar tetapi juga dalam kalangan umat sendiri yang berselindung di sebalik nama Islam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju Qunut Nazilah digunakan sebagai senjata politik untuk menyerang pihak tertentu.

Justeru, beliau menolak pandangan agar doa tersebut dibacakan terhadap pihak yang didakwa membatalkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama pada masa lalu.

Untuk rekod, Qunut Nazilah adalah doa yang disyariatkan untuk dibaca ketika umat Islam berdepan dengan musibah besar seperti peperangan, penindasan atau kezaliman terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Ia turut diamalkan oleh para ulama terdahulu sebagai simbol ketegasan dan solidariti terhadap kezaliman yang menimpa umat, selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast