Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan MOF, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Thailand dan Kemboja mahu Malaysia terus memainkan mandat penting dalam menangani isu damai konflik antara kedua-dua negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu disampai ketika pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan kedua negara itu hari ini.

Menurut beliau, atase pertahanan ASEAN akan bersama terus memantau di mana Malaysia berpendapat tidak perlu lagi campur tangan ASEAN secara menyeluruh.

“Sekurang-kurangnya setakat ini, mereka mahu Malaysia teruskan menyelaras dan mereka beri komitmen untuk mematuhi syarat-syarat menjamin genjatan senjata itu diamalkan sepenuhnya.

“Dan untuk itu, kita akan terus ambil peranan dan hari ini ada satu dua isu kecil, mudah-mudahan dapat diselesaikan.

“Saya bincang tadi dengan kedua-dua Menteri Pertahanan, kemudian atase pertahan ASEAN akan bersama memantau dan kita rasa tidak perlu lagi campur tangan ASEAN secara menyeluruh.

“Mereka mendukung ikhtiar ini dan memadai Malaysia menekankan kerjasama dua hala Kemboja dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, negara China dan Amerika Syarikat tidak terlibat dari segi pengawasan sempadan dan mereka hanya menawarkan kerjasama dan bantuan logistik sekiranya perlu.

Kata Perdana Menteri, ini akan menjadi urusan kedua-dua negara itu diselaraskan oleh Malaysia dan diberi kerjasama penuh oleh ASEAN.

“Sekarang sudah capai, sekurang-kurangnya ada gencatan senjata itu penting. Tapi soal sempadan ini soal yang berlarutan ratusan tahun pandangan kita kalau pun ada sedikit sebanyak perbedaan dan pendapat kita tidak semestinya menimbulkan ketagangan.

“Seperti pengalaman Malaysia sebagai negara maritim ada permasalahan dengan hampir semua negara tetapi tidak menghalang hubungan akrab di antara negara kita dengan negara-negara berkaitan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penutup diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan MOF, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OGOS 2025

Pada 28 Julai, pemimpin Thailand dan Kemboja yang bertemu di Malaysia di bawah perantaraan Anwar setuju untuk melakukan gencatan senjata selepas berlaku ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai setuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar di Putrajaya.

Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik membabitkan sempadan bersama sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei, susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast