KUALA LUMPUR – Isu warga emas terabai perlu mendapat perhatian di negara ini apabila mereka menjadi mangsa pengabaian keluarga dan masyarakat dalam mengharungi hari tua dalam kemurungan dan terpaksa hidup sendirian.
Peka dan prihatin dengan isu itu, aktivis, Muhammad Syafiq Mohiadi mahu lantang bersuara bagi membela nasib golongan itu dan masyarakat perlu melakukan sesuatu agar golongan itu dapat melalui ‘hari tua’ dengan bahagia.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia itu berkata, masalah warga emas terabai termasuk anak-anak yang menghantar orang tua yang sakit ke hospital dan dibiarkan dalam wad tanpa dijemput semula.
“Saya pernah terjumpa kes seorang warga emas yang dibiarkan selama 200 hari di hospital. Selain itu, isu ini juga melibatkan orang tua yang tiada rumah akibat dibuang keluarga atau anak-anak.
“Apa pun situasinya, keadaan ini amatlah menyedihkan selepas ibu bapa berkorban untuk membesarkan dan menyediakan segala keperluan untuk anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Syafiq menambah, isu pengabaian orang tua akan berterusan jika ia tidak diperjuangkan secara serius dan konsisten.
Untuk merealisasikan semangat dan iltizamnya, beliau yang juga Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR) sedang mengatur langkah untuk menceburi bidang politik demi membela nasib golongan berkenaan.
Muhammad Syafiq juga mencadangkan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) melakukan pemotongan khas untuk warga emas ke atas anak-anak yang didapati telah mengabaikan ibu bapa mereka.
“Apabila mekanisme ini dilaksanakan sekurang-kurangnya orang tua ini ada sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan dan boleh digunakan untuk menanggung keperluan mereka yang dijaga di pusat jagaan.
“Kalau anak-anak enggan menjaga ibu bapa mereka, kami boleh menjaga dan merawat mereka dengan menggunakan duit yang dipotong menerusi akaun KWSP,” katanya yang juga Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Hospital Kajang yang kini dikenali Hospital Tengku Permaisuri Norashikin. – MalaysiaGazette
















