Datuk G Geethajali bercakap pada sidang media mengenai kes serangan terhadap suaminya, G Gnanaraja, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Isteri saksi penting kes rasuah terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng, memohon perlindungan polis kerana khuatir dengan keselamatan keluarganya ekoran serangan 10 individu di kediaman mereka, semalam.

Datuk G. Geethajali yang merupakan isteri kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja berkata, mereka masih trauma dengan kejadian itu sehingga tidak boleh tidur malam kerana turut digertak oleh penyerang tersebut.

Menurut beliau, dia sendiri menyaksikan suaminya ditumbuk di bahagian mulut, ditampar dengan parang manakala pergelangan tangannya dikelar sehingga menerima lima jahitan.

Berdasarkan situasi yang berlaku, wanita itu turut menafikan kejadian tersebut sebagai rompakan biasa seperti yang dilaporkan pihak media kerana ada unsur-unsur gertakan terhadap keluarganya.

Ketika ditanya barangan yang hilang, Geethajali enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan polis dan beliau juga baru selesai memberi keterangan.

“Masih terlalu awal untuk kes itu diklasifikasikan sebagai rompakan biasa. Banyak perkara berlaku semalam yang tidak boleh saya dedahkan di sini kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Saya khuatir keselamatan kami sekeluarga, ini bukan rompakan semata-mata. Suami saya diserang dan kami digertak,” ujarnya pada sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sewaktu ditanya sama ada mereka sekeluarga pernah mengalami insiden sedemikian, Geethajali berkata, hanya dua kejadian berlaku di kejiranan itu dalam tempoh 10 tahun, namun tidak melibatkan kediamannya.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama ahli perniagaan, G Gnanaraja yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki di rumahnya, hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada sidang akhbar yang diadakan isterinya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2025

Semalam, media melaporkan, Gnanaraja cedera diserang 10 individu di kediamannya di Petaling Jaya, dekat sini manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang tersebut.

Sehubungan itu, polis giat memburu penjenayah tersebut dan mengklasifikan kes berkenaan sebagai rompakan berkumpulan dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Ahli perniagaan itu merupakan salah seorang saksi penting pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen, di sini.

Gnanaraja turut dilihat berada di pekarangan lobi mahkamah, namun beliau tidak mengambil bahagian dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga itu menjelaskan, sidang media berkenaan diadakan selepas Geethajali tidak puas hati dengan laporan yang memetik sumber polis berhubung kejadian semalam.

“Pendek kata, Datuk Geetha menyatakan sungguhpun kejadian itu cuba dirupakan sebagai satu rompakan, beliau membuat andaian ia lebih dari itu.

“Ia bukan satu rompakan semata-mata, beliau tidak mahu bercerita lanjut atau menjawab soalan pihak media kerana kes masih dalam siasatan,” ujar Muhammad Shafee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast