KUALA LUMPUR – Beberapa lot kedai dan rumah di Pantai Dalam musnah dalam satu kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.11 malam.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Dalam dengan bantuan pasukan dari BBP Hang Tuah dan BBP Hartamas telah digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, kebakaran melibatkan rumah yang seterusnya merebak ke empat buah kedai termasuk Mydin Mart.
“Keluasan kebakaran rumah setinggan 100×80 kaki persegi dan terbakar sebanyak 80 peratus.
Jumlah rumah setinggan yang terlibat sebanyak 14 rumah.

“Keluasan kebakaran kedai 200×120 kps. Kedai Mydin Mart bahagian atas tingkat satu terbakar 90 peritus dan tingkat bawah terbakar 20 peratus.Tiga buah kedai lagi terbakar 90 peratus,” tambahnya.
Seramai 36 anggota dari empat balai bomba iaitu Balai Pantai, Seputeh, Seri Hartamas dan Hang Tuah telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat.
Menurutnya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
















