Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

PUTRAJAYA – Semua pusat beli-belah di seluruh negara diwajibkan mempunyai fasiliti kitar semula berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, penguatkuasaan peraturan itu antara syarat kelulusan lesen perniagaan selaras dengan agenda Reformasi Pembersihan Awam KPKT di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Langkah tersebut bertujuan memperhebat kempen kesedaran Rethink, Reuse, Reduce, Recycle dan meningkatkan kadar kitar semula negara, yang disasarkan mampu menandingi tahap Kesatuan Eropah (EU) sekitar 65 peratus.

“Tanpa fasiliti kitar semula ini, mana-mana pusat beli belah tidak akan diberikan lesen perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),”  katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Semarak Jiwa Merdeka @ KPKT di sini hari ini.

Beliau berkata. inisiatif itu turut disokong dengan pengenalan kenderaan elektrik (EV) untuk kutipan sampah sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon dan menuju sasaran ekonomi sifar karbon menjelang 2035.

“KPKT juga akan melaksanakan kerja pembersihan jalan pada waktu malam di lokasi strategik seperti pusat bandar dan kawasan tumpuan pelancong mulai tahun hadapan.

“Langkah itu, dapat mengurangkan gangguan trafik, memberikan persekitaran lebih selesa kepada pekerja pembersihan,” jelasnya.

Menurut Kor Ming, kementerian juga akan memacu projek waste-to-energy (WTE) menggunakan teknologi moden untuk menukar sisa pepejal kepada tenaga elektrik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Teknologi WTE yang telah berjaya di beberapa negara akan diaplikasikan di Malaysia bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih mampan, bersih dan memberi manfaat tenaga kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast