KUALA LUMPUR – Pengguguran sukan tradisional Silambam daripada temasya SUKMA 2026 disifatkan sebagai satu keputusan yang mengecewakan dan membimbangkan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeshwaran.
“Silambam bukan sekadar sukan ia adalah warisan budaya bangsa. Jangan biarkan kealpaan dan kesenyapan memadamkan warisan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Lingeshwaran turut memuji komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjaya meraih tiga pingat emas dan tiga perak dalam acara Silambam pada SUKMA 2024 serta bersedia untuk terus menyokong sukan itu.
Beliau memaklumkan sebelum ini Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Daniel Gooi telah menyatakan kesediaan negeri itu untuk terus menganjurkan Silambam dalam temasya akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026 agar mempertimbangkan semula keputusan untuk menggugurkan Silambam dan menunjukkan kepimpinan dalam memastikan temasya sukan negara mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
“Saya menyeru kerajaan negeri bertindak segera. Selangor mempunyai kapasiti dan peluang untuk menunjukkan kepimpinan dengan memastikan temasya sukan negara mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia yang sebenar,” katanya.
Lingeshwaran turut menegaskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus dipersalahkan dalam isu itu kerana keputusan berkaitan acara dalam SUKMA adalah di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi SUKMA yang dianggotai wakil-wakil negeri.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan ketidakhadiran satu-satunya Exco berbangsa India yang memegang portfolio sukan negeri dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi SUKMA dalam mesyuarat yang memutuskan pengguguran acara tersebut.
“Mengapa beliau tidak hadir dalam mesyuarat penting yang memutuskan pengguguran Silambam? Sebagai satu-satunya suara masyarakat India dalam majlis tersebut, ketidakhadiran beliau adalah satu kecuaian yang serius. Masyarakat berhak mengetahui jawapan yang jujur dan telus,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















